Oleh : Mohd Firdaus Mokhtar
Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia
: 10 Januari 2008
Kemasukan wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 1 Januari lalu lebih awal berbanding dengan biasiswa dan juga pinjaman daripada agensi lain. Situasi ini sangat mengembirakan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan walaupun terdapat segelintir lagi yang belum menerima pinjaman tersebut Penyaluran wang yang lebih awal ini mampu memudahkan mahasiswa untuk membeli barang keperluan dan menjelaskan yuran pengajian dan penginapan di kolej.. Langkah PTPTN ini wajar dipuji kerana sedikit sebanyak menaikkan semangat dan motivasi mahasiswa untuk memulakan pengajian bagi sesi baru ini, sepertimana langkah PTPTN memberikan wang pendahuluan sebanyak RM 1500 semasa pendaftaran universiti lalu..
Walaubagaimanapun, sepertimana yang dirasakan oleh semua mahasiswa IPT, caj yang dikenakan sebanyak 3 % sebenarnya amat membebankan kepada para peminjam. Kami faham akan kos pentadbiran yang dialami oleh PTPTN, tetapi berilah sedikit ruang kepada kami untuk menyatakan pandangan dan pendapat kami terhadap isu ini. Biarlah wang dipinjam, dibayar dengan harga pinjaman dan bukannya membayar pinjaman bersama caj perkhidmatan. Kami sebenarnya tidak mahu mengubah dasar yang ditetapkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi lebih merupakan memohon simpati kepada Perdana Menteri untuk meringankan beban kami di masa hadapan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed,pernah membayangkan ingin menghapuskan caj perkhidmatan 3 % PTPTN ini. Dalam laporan akhbar pada 24 November 2007 lalu,beliau berkata,’Kerajaan sudah membuat kajian pada awal tahun ini mengenai perkara itu dan kita bersetuju mengekalkan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus setahun yang dikenakan kepada peminjam."Bagaimanapun, kita meneliti semula perkara itu dan perbincangan mengenainya mengambil masa kerana membabitkan banyak pihak, khususnya Kementerian Kewangan kerana kita memerlukan peruntukan kewangan besar," katanya..Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menyatakan bahawa kerajaan sedia meneliti caj pentadbiran yang dikenakan oleh PTPTN jika ia terbukti menimbulkan kesusahan kepada peminjam. Sebelum ini, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Dato' M. Kayveas mendesak supaya caj pentadbiran PTPTN dimansuhkan. Pihak ISIUKM amat menyokong penuh hasrat Perdana Menteri dan para menteri kita untuk mengkaji semula caj pentadbiran keatas peminjam PTPTN ini.
Penelitian semula terhadap caj yang dikenakan terhadap peminjam PTPTN amat wajar sekali memandangkan terdapat keluhan yang serius daripada peminjam terhadap bebanan caj pentadbiran tersebut. ISIUKM berkongsi pendapat dengan Dato' M. Kayveas bahawa “memandangkan PTPTN adalah dana pusingan, maka kerajaan patut memansuhkan caj pentadbiran tersebut”.Sewajarnya, insentif kemudahan pendidikan diberikan bagi memberi keselesaan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah yang semakin hari dihimpit taraf hidup yang semakin meningkat. Tindakan menghapuskan caj pentadbiran PTPTN akan mampu menonjolkan sebuah kerajaan yang peka kepada kebajikan rakyat atau istilah lainnya sebagai ‘good goverment’. Malaysia sebenarnya boleh memandang kepada negara-negara lain seperti Arab Saudi, Jerman, Sweden, Cuba, Ecuador dan sebagainya yang menawarkan pendidikan percuma dari pendidikan awal hinggalah ke Universiti. Di negara seberang tambak, kejayaan Singapura dalam membahagikan kekayaannya boleh diambil sebagai contoh, walaupun Singapura negara pengimport petrol, mereka masih mampu membahagikan sebanyak S$ 2,000-2,500 kepada rakyat miskin dan faqir secara tahunan.
Kami sebagai mahasiswa universiti di Malaysia merasakan isu PTPTN sebagai satu bebanan masa hadapan, ISIUKM ingin mencadangkan agar negara memanfaatkan wang kutipan zakat untuk membiayai pembelajaran mahasiswa. Apa yang diketahui umum, pusat zakat sentiasa melaporkan kejayaan memungut zakat di setiap negeri dalam jumlah yang sangat besar. Kami juga ingin mencadangkan agar pihak pentadbiran PTPTN menaikkan sedikit jumlah pinjaman tersebut, kemudian memotongnya sebanyak 20% dan dimasukkan ke mana-mana institusi kewangan, pasaran saham, atau apa saja tempat yang diluluskan syarak dan boleh mendatangkan keuntungan. Sepertimana yang dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji. Selepas 4 hingga 5 tahun, kadar keuntungan tersebut boleh membiayai 50% pinjaman,dan bakinya akan dibayar oleh graduan
ISIUKM turut mengesyorkan agar Perbadanan PTPTN dapat mengkaji dari segenap sudut agar dapat memberi keselesaan kepada peminjam terutamanya kepada peminjam yang baru sahaja menamatkan pengajian. Kita sedia maklum bahawa ramai juga mahasiswa yang baru menghabiskan pengajian mengambil masa yang agak panjang untuk mendapat pekerjaan. Manakala Pinjaman perlu dilunaskan 6 bulan selepas tamat pengajian tanpa mengambil kira graduan bekerja atau tidak. Sekiranya mendapat penangguhan (maksimum 24 bulan), kadar faedah atas baki berkurangan akan dikenakan dan jumlah pembayaran balik akan meningkat dengan sendirinya. Oleh itu, sewajarnya pihak PTPTN mengambilkira situasi yang berlaku terhadap peminjam yang masih menganggur sedangkan nilai faedah bertambah pada setiap bulan. Justeru itu, kami mencadangkan agar tempoh untuk melunaskan bayaran daripada 6 bulan dilanjutkan kepada 12 bulan tanpa dikenakan bayaran caj perkhidmatan. Bayangkan rakyat Malaysia jika peminjam meminjam RM 3000 dan perlu membayar caj perkhidmatan 3 % selama 3 tahun (RM 90 X 36 = RM 3240).Untuk perhatian, RM 3240 hanyalah sebagai pembayaran caj perkhidmatan sahaja dan akan bertambah sekiranya kita tidak melangsaikan hutang dengan cepat selepas tamat pengajian. Amat malang sekiranya situasi ini benar dan berterusan, negara yang kita cintai ini akan melahirkan graduan hutang.
Islam menyeru umatnya mencuba sedaya-upaya mengelak daripada berhutang sebagaimana dalam satu hadis Nabi s.a.w, yang mana Nabi berdoa selepas tahiyyat akhir untuk mengelak daripada azab kubur, fitnah dajjal, fitnah kehidupan dan mati serta mengakhiri doa Baginda dengan memohon dijauhkan dari perkara-perkara yg membawa kepada dosa dan hutang. Apabila ditanya oleh Aisyah r.a mengapa mohon dijauhkan dari berhutang?, Baginda menjawab; berhutang menyebabkan seseorangg menipu apabila bercakap dan mungkir apabila berjanji.
Oleh itu, kami memohon kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar mendengar dan bersimpati dengan keluhan kami seterusnya memansuhkan kadar faedah sebanyak 3% tersebut. Memetik kata-kata Kung Fu Tze, bahawa “pendidikan adalah tanggungjawab sosial yang dipikul pemerintah.Atas kebijaksanaan Perdana Menteri sendiri”, Diharap isu utama mahasiswa (student mainstream issues) ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kita tidak mahu ia menjadi sebab musabab kejatuhan nilai keintelektualan mahasiswa kerana terlalu memikirkan bagaimana kaedah pembayaran yang paling baik. ISIUKM amat berharap agar bebanan mahasiswa diringankan dengan menghapuskan caj pentadbiran yang jelas sekali membebankan peminjam PTPTN. Disamping itu menimbang kembali perkara 153 perlembagaan persekutuan berkaitan biasiswa atau pendidikan percuma. Sekian terima kasih.