ISIUKM Bersama Masyarakat

Posted by LIP On 4 July

Perasmian Pesta Buku sempena Karnival Kesenian Dan Keilmuan Islam yang diadakan di Bangunan PKNS Bangi telah disempurnakan oleh YB Nik Nazmi B Nik Ahmad yang merupakan ADUN Seri Setia merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, YB Tan Sri Abdul Khalid B. Ibrahim. Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan kerjasama beberapa organisasi lain termasuk Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM). Karnival ini bermula pada 30 Jun dan bakal berakhir pada 15 Julai 2009. Perasmian...

Gerai Selera Murni

Posted by LIP On 11 July

mari ramai-ramai singgah di gerai selera murni anjuran Lajnah Ekonomi Dan Perniagaan (LEP) ISIUKM untuk sesi 2009. Antara makanan yang dijual adalah nasi Minyak, Ice bladed, Nasi lemak dan macam-macam lagi. Rugi bagi mereka yang tidak singgah di Gerai Selera Murni @ Gerai ISIUKM.

Majlis Konvokesyen UKM ke-37. Tahniah buat semua

Posted by LIP On 19 August

Bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (DECTAR), akan berlangsung majlis Konvokesyen UKM Ke-37. Konvokesyen diadakan sebanyak 10 Sidang melibatkan 7,674 orang penerima pelbagai anugerah termasuk 5 Profesor Emeritus, dan 2 Ijazah Kehormat. UKM berjaya mengeluar seramai 131,256 graduan sepanjang 39 tahun penubuhannya dengan pecahan seperti berikut, Ijazah Sarjana Muda (113,975), Ijazah Sarjana (13,641), Ijazah Sarjana Kepakaran (2254) dan Ijazah Doktor Falsafah (1389). Seramai 2 graduan bakal menerima Anugerah......

Wednesday, September 2, 2009

ISIUKM Bersama Masyarakat

image001

Bangi, 4 Julai – Perasmian Pesta Buku sempena Karnival Kesenian Dan Keilmuan Islam yang diadakan di Bangunan PKNS Bangi telah disempurnakan oleh YB Nik Nazmi B Nik Ahmad yang merupakan ADUN Seri Setia merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, YB Tan Sri Abdul Khalid B. Ibrahim. Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan kerjasama beberapa organisasi lain termasuk Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM).

Karnival ini bermula pada 30 Jun dan bakal berakhir pada 15 Julai 2009. Perasmian turut dihadiri oleh ADUN Bangi, YB Dr. Syafie B. Abu Bakar ; YDP Majlis Perbandaran Kajang, Y.Bhg. Dato’ Hasan Nawawi B Abd Rahman dan Presiden ISIUKM, Mohd Idris B. Mohd Yussoff.

YB Nik Nazmi dalam ucapannya menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan berharap agar program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang. Beliau juga berpandangan, percambahan pemikiran atau pertentangan pendapat wajar dizahirkan melalui penulisan dan penerbitan bahan ilmiah.

“Pesta Buku ini merupakan salah satu usaha yang perlu digiatkan dalam usaha membudayakan ilmu di Bangi dan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.” ujarnya lagi.

Presiden ISIUKM, Saudara Mohd Idris B. Mohd Yussof pula menganggap program ini amat bertepatan dengan konsep Bangi sebagai Bandar Ilmu.

“Mahasiswa berasa bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan masyarakat bagi merealisasikan hasrat melahirkan golongan masyarakat terpelajar. Namun begitu, saya berharap agar kemudahan seperti perpustakaan perlu diperbanyakkan dan sumber bahan bacaan perlu diperkasakan supaya Bangi mampu menjadi hub sumber ilmu pengetahuan pada masa hadapan.”kata beliau.

Gerai Selera Murni (GSM)

mari ramai-ramai singgah di gerai selera murni anjuran Lajnah Ekonomi Dan Perniagaan (LEP) ISIUKM untuk sesi 2009. Antara makanan yang dijual adalah nasi Minyak, Ice bladed, Nasi lemak dan macam-macam lagi. Rugi bagi mereka yang tidak singgah di Gerai Selera Murni @ Gerai ISIUKM

Majlis Konvokesyen UKM ke-37. Tahniah buat semua

Bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (DECTAR), akan berlangsung majlis Konvokesyen UKM Ke-37. Konvokesyen diadakan sebanyak 10 Sidang melibatkan 7,674 orang penerima pelbagai anugerah termasuk 5 Profesor Emeritus, dan 2 Ijazah Kehormat.

UKM berjaya mengeluar seramai 131,256 graduan sepanjang 39 tahun penubuhannya dengan pecahan seperti berikut, Ijazah Sarjana Muda (113,975), Ijazah Sarjana (13,641), Ijazah Sarjana Kepakaran (2254) dan Ijazah Doktor Falsafah (1389).

Seramai 2 graduan bakal menerima Anugerah Pelajaran Diraja (APD). Pelajar itu adalah Nur Najwa Abdul Rahman dari Fakulti Pengajian Islam dan Chrissie Lim Hsin dari Fakulti Undang-undang. Pengiktirafan dinilai melalui kecemerlangan dalam akademik, aktif dalam ko-kurikulum, menyumbang bakti kepada masyarakat, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sifat keperibadian yang mulia. Mereka bakal menerima pingat emas bernilai RM1000, wang tunai RM5000 dan Sijil Penghargaan. Dua lagi penerima bakal menerima Anugerah Tun Abdul Razak yang disumbangkan oleh Yayasan Tun Razak dan menerima wang tunai RM1000 dan pingat emas bernilai RM1000. Mereka terdiri daripada Salwana Jusoh@ Yusoff dari Fakulti Pendidikan dan Yew Su Mei dari Fakulti Sains dan Teknologi. Manakala Adilah Zaira Abu Bakar yang memperolehi Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan Dengan Kepujian (Cemerlang) dalam boding Kejuruteraan dan Elektronik dari Fakulti Kajuruteraan dan Alam Bina terpilih menerima Anugerah Naib Canselor. Beliau bakal menerima hadiah wang tunai RM2500 dan buku terbitan Penerbitan UKM.

Tahniah! Diucapkan kepada para graduan konvokesyen UKM kali ke-37.

** Tahniah buat Salwana Binti Jusoh@Yusoff. Anda kebanggaan kami.

** Mantan Exco Lajnah Kebajikan ISIUKM sesi 2007/2008

ISLAM UNTUK SEMUA

Sunday, July 6, 2008

Peranan Mahasiswa Perlu Seiring Dengan Falsafah Universiti

Mengikut statistik Kementrian Pengajian Tinggi, seramai 40,184 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajan Tinggi Malaysia, Matrikulasi dan Diploma akan bergelar sebagai mahasiswa pada 29 Jun nanti. Terdapat pelbagai latar belakang sama ada golongan kaya mahupun miskin, pelbagai agama dan kepercayaan serta tidak terkecuali golongan istimewa iaitu golongan warga emas mahupun orang kurang upaya adalah mereka yang mendaftar di 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada tarikh keramat itu. Ikatan Studi Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) ingin mengucapkan selamat datang kepada mahasiswa baru yang akan mencorakkan bumi Malaysia ini pada masa mendatang. Semoga hasrat untuk menggenggam segulung ijazah tidak tersekat di tengah jalan.

Mahasiswa baru sama ada suka atau tidak akan berhadapan dengan 1 minggu yang dikenali sebagai minggu suaikenal. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ia dikenali sebagai Minggu Mesra Mahasiswa atau 3M. Sememangnya jelas dan tidak dinafikan bahawa minggu suaikenal ini bertindak sebagai ‘landmark situations’ atau kondisi rujukan kepada mahasiswa baru. Sekiranya minggu suai kenal dapat memberikan input yang berguna kepada mereka, sudah pasti negara dan universiti akan mendapat pulangan yang lumayan pada waktu mendatang.

Komentar ini tidak berhasrat untuk mengetengahkan isu minggu suai kenal secara panjang lebar. Cukuplah sifir mudahnya bahawa mahasiswa dapat dibentuk karakternya melalui pengisian program berintelektual semasa minggu suai kenal. Bagi ISIUKM, peranan mahasiswa baru dalam mencorakkan susur galur negara kita cintai ini wajar diperkatakan dalam ruang yang sempit ini

ISIUKM melihat peranan dan hasrat utama mahasiswa baru adalah menimba ilmu pengetahuan dan mencapai segulung ijazah di akhir pengajian nanti. Budaya ilmu wajar diterapkan dan diaplikasikan setiap masa dalam memenuhi tuntutan masyarakat yang memerlukan insan berilmu. Jadikanlah dunia kampus sebagai dunia budaya ilmu yang boleh mencorakan sosio budaya masayarakat negara ini.

Mahasiswa baru juga mempunyai tugas sebagai agen perubahan kepada masyarakat. ISIUKM menyeru supaya mahasiswa baru nanti sudi untuk turun padang membantu masyarakat melalui Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) khususnya kepada masyarakat kampung dan para pelajar sekolah untuk berjaya. Sebagai pelajar institusi pengajian tinggi, mahasiswa berperanan dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat sekitar dalam mendidik dan membantu masyarakat terutamanya anak-anak kampung untuk beroleh kejayaan. Mahasiswa baru perlu menjadi contoh dan teladan baik kepada masyarakat untuk berusaha dan berjaya seperti mereka.

Tugas meningkatkan taraf dan rangking IPTA tempatan ke dalam senarai 100 buah Universiti terbaik di dunia turut terpikul dibeban mahasiswa baru. Tahun lalu, tiada satu pun wakil negara dalam 200 universiti terbaik di dunia sedangkan dua buah universiti dari negara jiran iaitu Singapura tergolong dalam “top 200”, malah National University Singapore berada di tempat ke 33 iaitu satu pencapaian yang sangat membanggakan. Secara analoginya bahawa rangking universiti setiap negara akan menjadi petunjuk terhadap kelebihan sesebuah negara dalam pentadbiran negara masing-masing. Justeru, pertanggungjawaban kita sebagai mahasiswa baru dalam merencanakan keintelektualan dan kemahiran amatlah dituntut dalam menaikkan kembali rangking IPTA kita dan seterusnya menjulang kembali imej negara di kacamata global.

Selain itu, mahasiswa baru wajar perlengkapkan diri dengan soft skill atau kemahiran halus berkaitan dengan pengurusan organisasi. Kemahiran ini boleh ditimba dan dicari melalui pergerakkan aktif mahasiswa itu sendiri di dalam kelab mahupun persatuan di IPTA masing-masing. Janganlah kita cemerlang dalam akademik semata-mata sedangkan kita gagal dalam bidang kemahiran berhubungan dengan masyarakat. Minggu Pengenalan Persatuan kelak wajar dijadikan sebagai ‘pasar jualan murah’ kepada mahasiswa dalam mendaftarkan diri di dalam persatuan dan kelab sebagai batu loncatan memperolehi kemahiran bukan teorikal itu. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sendiri, kewujudan 13 persatuan anak negeri dan 43 persatuan atau kelab sama ada di bawah kelolaan Hal Ehwal Pelajar mahupun Fakulti mencerminkan bahawa mahasiswa boleh membuat pilihan untuk berorganisasi atas lesen kebebasan berpersatuan yang dianugerahkan oleh Universiti.

Bagi mahasiswa baru yang akan belajar di luar negara, anda sepatutnya menunjukkan kualiti yang tinggi dari pelbagai segi kerana pembiayaan pengajian anda mampu menampung pengajian lebih sepuluh orang kawan-kawan yang belajar di universiti dalam negara. Mahasiswa baru juga perlu memandang serius Pilihanraya Kampus (PRK) sebagai langkah mereka untuk membentuk suasana universiti yang baik memandangkan universiti mereka termasuk di dalam “circle of influence” mereka. Mahasiswa perlu membebaskan minda mereka daripada politik partisan di luar sana dan perlu membentuk idealisme atau pengaruh sendiri. Mahasiswa perlulah menjadi golongan yang bertindak sebagai pressure group, indipendent groups, catalyst, check and balance, watch-dog dan bukannya jurucakap kepada parti pembangkang mahupun kerajaan. ISIUKM berharap suasana demokrasi yang segar dalam universti akan dapat mempersiapkan mahasiswa untuk memegang tampuk pemerintahan negara kelak.

Selanjutnya, tugas yang paling akhir ialah mahasiswa wajar membina jati diri yang kukuh serta tidak mudah terpesong daripada landasan agama dan juga adat ketimuran. Mahasiswa baru perlu menanamkan iltizam bahawa mereka datang ke gedung ilmu semata-mata untuk belajar dan mencari kemahiran individu, bukannya menjadi bualan mulut masyarakat berkaitan moral mereka. Mahasiswa baru perlu sedar bahawa mereka adalah berbeza dengan remaja di luar sana yang sebaya umurnya tetapi tidak setara pemikirannya. Di pundak bahu mahasiswa barulah terletaknya harapan masyarakat untuk melihat generasi penyambung kepimpinan negara yang bermoral dan berkualiti tinggi.

Oleh yang demikian, mahasiswa baru hendaklah bersikap terbuka dan optimis terhadap segala cabaran mendatang selama tiga atau empat tahun di menara gading. Tidak dinafikan bahawa peranan mahasiswa baru amatlah berat pada kacamata masyarakat tetapi semakin berat beban itu terpikul, semakin berguna kepada kemandirian negara kita cintai ini. ISIUKM berharap agar mahasiswa baru terus berusaha dan bercita-cita dalam memenuhi matlamat kewujudan universiti iaitu sebagai jantung pemikiran bangsa dan tamadun. Andainya ia tidak direalisasikan oleh kita, dibimbangi universiti akan menjadi tidak ubah seperti kilang pengeluaran sumber tenaga bersifat mesin dan juga robot bernyawa.

Monday, June 9, 2008

Minyak Naik..Apa Kata Mahasiswa??



LEWAT petang 4 Jun lalu, Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi telah membuat kenyataan rasmi berhubung kenaikan harga bahan bakar atau minyak di Putrajaya. Akibatnya, berpusu-pusu rakyat Malaysia menuju ke stesen minyak berhampiran untuk mengisi bahan bakar tersebut bagi ‘kepuasan’ sekadar dua atau tiga hari. Selepas itu, rakyat akan kembali kepanasan apabila membayar harga petrol sebanyak RM2.70 per liter iaitu kenaikan 78 sen seliter. Manakala, harga diesel turut naik sebanyak RM1 per liter.


Sememangnya tidak dinafikan dunia sedang mengalami kenaikan harga petrol. Terkini, tarif harga minyak dunia adalah USD135 setong. Harga semasa dijangka akan terus meningkat lebih USD150 setong pada penghujung 2008 ini. Senario ini adalah tidak dapat dielakkan kerana pemintaan minyak sedunia adalah melebihi tawaran terhadap emas hitam itu. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh OPEC, dunia hanya mampu mengeluarkan minyak sebanyak 85 juta per tong sehari sedangkan keperluan per hari minima adalah 87 juta per tong. Hal ini ditambah dengan spekulasi peak oil theory ataupun teori puncak minyak. Menurut spekulasinyai, minyak seluruh dunia akan habis paling lewat pada 2035 dan di Malaysia pada tahun 2014. Justeru itu, bagi satu jaminan kepada pihak kapitalis mahupun kerajaan pemerintah, maka pemanipulasian pengeluaran minyak akan dilakukan bagi keuntungan jangka panjang. Fenomena tidak menentu harga minyak sedunia secara logiknya akan mempengaruhi harga minyak domestik Malaysia . Alasan inilah juga yang digunakan oleh kerajaan kita dalam melaksanakan penstrukturan semula harga petrol selepas mesyuarat kabinet petang Rabu lalu.






Bagi kita sebagai mahasiswa, kesan kenaikan harga minyak adalah dirasakan oleh kita semua. Sama ada golongan kaya mahupun golongan biasa. Walaupun kita akan mendapat ‘pembiayaan’ daripada JPA dan juga PTPTN setiap semester, tetapi jumlah itu tidak mencukupi kerana harga barang tidak mengira pendapatan seseorang. Kemungkinan besar yuran akan dinaikan pada semester hadapan adalah tidak mustahil dan ini telah dibayangkan oleh Penolong Pendaftar semasa bengkel HEP di Danau pada Mac lalu yang menyatakan bahawa yuran aktiviti JAKSA akan dinaikkan kepada RM 100 daripada RM 80. Jelas bahawa kenaikan harga ‘perkhidmatan’ turut berlaku kepada kita sebagai mahasiswa di UKM dan ini tidak dapat dinafikan lagi. Juga bagi mereka yang memiliki kenderaan sendiri yang perlu mengisi minyak untuk ke sesuatu tempat, jelas isu kenaikan harga minyak akan membuatkan mereka menanggung derita.







Bagi yang menggunakan bas ekspress mahupun bas henti-henti atau bas mini, kenaikan tambang sehingga 100 peratus akan dilakukan selewat-lewatnya minggu ini sepertimana yang dijanjikan oleh kerajaan Oktober lalu kepada Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA). Keputusan menaikkan tambang bas itu dicapai oleh 111 syarikat bas yang menganggotai PMBOA seperti terkandung di dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar bertarikh 10 April lalu. Sememangnya kenaikan tambang bas akan terus melingkari kita sebagai pengguna utama medium pengangkutan awam tersebut. Di samping kenaikan harga barang makanan di dalam dan luar kampus, pasti akan menambah derita yang telah sedia ada kepada mahasiswa.


Justeru itu, atas kebebasan bercakap yang dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan kita, maka penulis ingin mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar mengkaji balik kenaikan harga minyak tersebut. Rebat atau bayaran saguhati RM625 dan RM150 subsidi yang dijanjikan kepada kita selama setahun adalah hanya cukup untuk tiga bulan sahaja serta dilihat tidak dapat menyelesaikan tekanan hidup rakyat Malaysia secara amnya. Selain itu, pengangkutan awam seperti bas dan juga komuter perlu ditingkatkan lagi kualitinya atas penjimatan sebanyak RM 13.7 Bilion itu.

Petronas sebagai badan tidak berkanun yang menjaga hasil perut bumi minyak negara kita juga perlu melaksanakan prinsip ketelusan dalam keuntungan yang diperolehi, agar keuntungan yang dimiliki Malaysia dinikmati semua rakyat jelata. Penulis ingin mencadangkan kepada kerajaan agar mendedahkan akaun Petronas kepada rakyat negara ini dan bukannya diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana itu hak rakyat jelata untuk mengetahuinya. Hal ini kerana Malaysia merupakan negara pengeksport petrol yang juga akan mendapat keuntungan yang tinggi semasa harga pasaran dunia naik sampai melebihi US130, di mana rakyat Malaysia sepatutnya mendapat manfaat daripada kenaikan harga petrol sedunia. Bagi mengelakkan persepsi negatif pada kerajaan, maka pendedahan akaun Petronas perlu dilaksanakan segera

Selain itu, penulis ingin mencadangkan pihak kerajaan menyediakan kad diskaun pelajar bagi menampung kehidupan mereka yang bergelar mahasiswa. Tambang bas, minyak petrol dan juga harga makanan perlu diberikan harga khas yang rendah kepada mahasiswa atas kapasiti sebagai golongan khas yang memerlukan bantuan. Kad Diskaun ini dapat memberikan satu bantuan kepada mahasiswa dalam menghadapi situasi inflasi yang membimbangkan sekarang.


Bagi jangka masa panjang juga, mahasiswa melihat bahawa isu kebanjiran warga asing perlu diatasi segera. Kekosongan kerja yang ada di pasaran kerja kita wajar diisi oleh graduan kita sendiri dan bukannya warga asing yang banyak berkhidmat di sektor profesional. Bagi sektor buruh pula, pembolotan kerja oleh warga asing juga perlu diatasi untuk kesenangan rakyat yang berpendidikan rendah. Mereka dari hari ke hari agak sukar untuk mendapatkan duit ekoran pekerjaan yang diboloti oleh warga asing. sedangkan pendapatan rakyat tidak berubah dan sukar pula mencari pendapatan ekoran banyak kilang-kilang lebih senang menggunakan pekerja daripada warga asing dan bukan warganegara kita.


Mekanisme lain untuk mengurangkan bebanan dan tanggungan rakyat ekoran kenaikan minyak ini adalah melalui kenaikan gaji minimum RM 900 dan juga elaun kos sara hidup (COLA) RM300 per bulan bagi pekerja swasta. Secara amnya, purata pendapatan per kapita maksima pekerja di Malaysia adalah RM1800 . Namun, adakah ini realiti angka sebenar yang diperoleh oleh semua petani,nelayan, peniaga, peruncit IKS dan lain-lain?? Inilah persoalan yang wajar kita renungi bersama ke arah memastikan rakyat yang miskin mendapat pembelaan sewajarnya. Sekiranya pelaksanaan gaji mimun bagi pekerja swasta tidak dapat dilaksanakan atas alasan inflasi, maka penulis mencadangkan agar gaji daripada Perdana Menteri sehinggalah kepada Ahli Parlimen dipotong separuh daripada hasil gaji penuh mereka. Ini sebagai bukti bahawa pemimpin bersama rakyat jelata dalam menghadapi isu ini. Menurut penyata parlimen yang dikenali sebagai hansard, gaji minimum Perdana Menteri Malaysia kita sekarang adalah sebanyak RM22,826.65 sebulan. Oleh kerana beliau memegang port folio Menteri Kewangan 1, (bekas) Menteri KDN dan ahli Parlimen, gaji minimum terkumpul adalah RM56,753.84 sebulan. Bagi gaji minimum Timbalan Perdana Menteri Malaysia pula, ia adalah sebanyak RM18,168.15 per bulan. Oleh kerana Datuk Seri Najib juga memegang port folio Menteri Pertahanan, maka jumlah gaji minimum terkumpul adalah RM33,075.35 sebulan. Gaji minimum bagi menteri-menteri dalam kabinet Malaysia adalah sebanyak RM14,907.20 sebulan. Manakala gaji minimum semua timbalan menteri dan setiausaha di kementerian masing-masing adalah sebanyak RM10,847.65 sebulan dan RM7,187.40 sebulan. Sementara itu, gaji minimum bagi ahli Dewan Negara dan ahli Dewan Rakyat masing-masing adalah RM6,508.59 sebulan dan RM4,112.79 sebulan. Ini tidak ditambah dengan elaun-elaun seperti elaun perjalanan,elaun penginapan dan juga elaun kehadiran ke Parlimen. Jelas bahawa gaji mereka sebagai pemimpin adalah amat besar dan hendaklah golongan eskplorat ini menyumbangkan sedikit gaji mereka ke kantung dana kebajikan bagi meringankan sedikit bebanan golongan miskin.

Secara hujahnya, kenaikan harga minyak baru-baru ini amat memberikan kesan negatif kepada masyarakat awam. Hal ini memang tidak dinafikan oleh sesiapa sahaja. Alasan bahawa negara Malaysia merupakan negara ke-2 paling rendah harga minyak selepas Brunei di Asia Tenggara sememangnya boleh diterima sebagai fakta. Tetapi jika dibandingkan dengan negara lain yang merupakan negara pengeluar minyak, jelas bahawa Malaysia merupakan negara tercorot dari segi kedudukan harga petrol bagi negara-negara pengeksport. Buktinya harga minyak bagi Venezuela mengikut tukaran Dolar AS kepada Ringgit Malaysia ialah RM 0.16 liter iaitu paling murah di kalangan negara-negara OPEC. Selanjutnya negara seperti, Nigeria RM0.32 seliter , Iran RM 0.35 seliter, Saudi Arabia RM0.38 seliter, Kuwait RM0.67 seliter, Mesir RM1.03 seliter dan UAE RM1.19 seliter. Kerajaan perlu menimbangkan semula keputusan menaikkan harga petrol. Kerajaan seharusnya prihatin ke atas rakyat Malaysia kerana rata-rata mereka membelanjakan hampir 25% pendapatan mereka ke atas pengangkutan. Oleh itu, keputusan menaikkan harga minyak perlu dilakukan secara ‘win-win situation’ agar rakyat kembali ‘ceria’ apabila bangkit dari lamunan tidur, dan tidak terkecuali juga bagi mahasiswa.





ISLAM UNTUK SEMUA

Thursday, May 29, 2008

ISU PULAU BATU PUTEH… KEDAULATAN TANAH AIR KITA




Anak Kecil Main Api,

Terbakar Hatinya Yang Sepi,

Air Mata Darah Bercampur Keringat,

Bumi Dipijak Milik Orang.

Itulah bait-bait lirik lagu Warisan yang jika diamati, amat memberikan kesan signifikan kepada keputusan 12-4 yang dibaca oleh Naib Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh dalam keputusan pada 23 Mei yang lalu yang memutuskan bahawa kedaulatan pulau Batu Puteh secara rasminya diserahkan kepada Singapura. Mengikut geografi, Pulau Batu Putih yang lebih dikenali sebagai Pedra Branca atau bermakna batu putih dalam bahasa Portugis terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor dan 25 batu nautika dari Singapura. BACA LAGI......

ISU PULAU BATU PUTEH… KEDAULATAN TANAH AIR KITA

Anak Kecil Main Api,

Terbakar Hatinya Yang Sepi,

Air Mata Darah Bercampur Keringat,

Bumi Dipijak Milik Orang.

Itulah bait-bait lirik lagu Warisan yang jika diamati, amat memberikan kesan signifikan kepada keputusan 12-4 yang dibaca oleh Naib Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh dalam keputusan pada 23 Mei yang lalu yang memutuskan bahawa kedaulatan pulau Batu Puteh secara rasminya diserahkan kepada Singapura. Mengikut geografi, Pulau Batu Putih yang lebih dikenali sebagai Pedra Branca atau bermakna batu putih dalam bahasa Portugis terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor dan 25 batu nautika dari Singapura.

Pulau Batu Putih yang terdiri daripada ketulan batu karang dan luasnya hanya sekangkang kera itu sememangnya menjadi hak milik Kesultanan Johor semenjak sebelum tahun 1847 dan bukannya terra nullius (tidak berpenghuni serta tidak dimiliki oleh sesiapa) seperti yang didakwa oleh Singapura. Justeru itu, bagi mahasiswa, keputusan ICJ bukanlah satu keputusan menang-menang atau "win-win situation" tetapi ia sebenarnya seperti merampas ikan dalam tangan kita manakalanya isinya dimakan dan kita diberikan tulang. Walaupun kita mendapat Batuan Tengah atau "Middle Rocks" dan melepaskan Pulau Batu Putih, nilainya adalah tidak sama walaupun hanya kehilangan 0.2 hektar daratan atau sebuah padang bola sahaja kerana di sana ada implikasi yang bersifat jangka panjang.

Hujah konkrit Singapura berkaitan dengan surat Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 kepada Singapura yang tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Puteh telah dianggap oleh ICJ sebagai pengakuan penyerahan kedaulatan pulau berkenaan kepada republik itu. Di samping ketidak-bantahan kerajaan Malaysia terhadap pengibaran panji negara Singapura turut menjadi faktor kepada kemenangan Singapura dalam penghakiman setebal 81 muka surat itu. Faktor lain yang boleh diambil-kira adalah sekiranya Singapura benarkan kita menggunakan Arkib Nasional mereka, sudah pasti Pulau Batu Putih itu akan jadi milik kita tanpa persoalan. Hal ini berdasarkan sejarah bahawa semasa penjajahan British, Singapura dianggap Ibu Negeri bagi negeri-negeri Selat dan mungkin juga pusat pemerintahan sentral British bagi seluruh Tanah Melayu dari tahun 1896 hingga 1957. Secara umumnya juga, setiap rekod mengenai apa yang berlaku di Tanah Melayu dan Singapura akan disimpan di Singapura. Maka dokumen perjanjian,penaklukan atau pengambilan Pulau Batu Putih kemungkinan besar sudah pasti turut ada disana dan jika diselongkar daripada awal, pasti keputusan akan berubah.

Penulis turut melihat bahawa ICJ akan menggunakan isu siapakah yang "menduduki, mengawal dan menyelenggara" sepanjang masa tertentu sesuatu kawasan itu dan ia akan diiktiraf sebagai "pihak yang empunya" kawasan tersebut. Persepsi oleh ICJ ini tidaklah pelik kerana berasaskan komposisi panel hakim yang majoriti terdiri daripada bangsa eropah, sememangnya bangsa eropah ini sinonim dengan doktrin penjajahan mereka. Sejarah telah membuktian bahawa bangsa eropah akan menggunapakai doktrin sesiapa yang mengawal, menguasai dan menyelenggara sesuatu wilayah, maka mereka mengisytiharkan wilayah itu menjadi hak milik mereka.
Doktrin ini terpakai sejak zaman Christopher Colombus yang menawan benua Amerika Utara dahulu hingga ke zaman perang British Argentina merebut kepulauan Falkland

Bagi mahasiswa yang akan menjawab segala pertanyaan generasi akan datang, Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) melihat isu kemenangan Singapura ke atas Pualau Batu Putih sebagai satu keputusan landmark case atau kes pertama dirujuk yang memperlihatkan kedaulatan tanah air kita kali pertama tergugat. Kalau 1511 memulakan detik penjajahan kuasa barat terhadap Tanah Melayu, 2008 dibimbangi akan tercatat dalam sejarah bermulanya penjajahan kuasa neoimperalisme terhadap kedaulatan negara kita yang tercinta ini. Hujah penulis bukan beralaskan emosi semata-mata tetapi lebih kepada hujahan fakta. Bahayanya pemilikan Pulau Batu Puteh dapat dilihat melalui peruntukan Undang-Undang Laut yang menetapkan sempadan perairan membabitkan kawasan sehingga 12 batu nautika atau 22.2 kilometer dari pesisiran pantai atau mana-mana bidang hartanah milik sesebuah negara. Oleh yang demikian, tidak mustahil negara Singapura menambak daratan mereka daripada pulau mereka yang lebih kecil berbanding Pulau Langkawi itu menjadi daratan sehingga bersambung dengan Pulau Batu Puteh. Hal ini tidak mustahil berlaku kerana negara sebarang tambak itu memerlukan tanah untuk menampung kepadatan penduduknya yang dipercayai berkembang hingga 10 juta orang di hari mendatang di samping untuk memperbanyakkan lagi pembinaan infrastruktur kemudahan awam dan komersil. Selain itu, keputusan ICJ memberikan hak Batu Puteh kepada Singapura turut merangkumi hak meneroka hasil galian dan sumber mineral asli dalam perairan republik itu. Menurut Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia (MIMA), Datuk Cheah Kong Wai, berkata bahawa dalam sempadan perairan sendiri, sesebuah negara bebas menentukan undang-undang menetapkan penggunaan dan meneroka atau melombong apa-apa sumber asli. Pada masa sekarang, selain memiliki dan mengendalikan Rumah Api Horsburgh, Singapura memasang Sistem Maklumat Trafik Perkapalan (VTIS) pada menara di Batu Puteh yang menjadi elemen penting bagi menguruskan laluan kapal di perairan berkenaan dan ini memberikan kelebihan ekonomi kepada mereka.

Isu keselamatan negara juga turut menerima implikasinya tersendiri. Lokasi Batu Puteh amat strategik untuk mengawal laluan keluar masuk ke selat Tebrau, Kepulauan Riau, dan Laut China Selatan dan pemantauan 24 jam dapat dilakukan terhadap keluar masuk aset maritim termasuk juga aset Tentera Laut Di-raja Malaysia (TLDM) dari KD Sultan Ismail atau Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih. Juga tidak mustahil jika Pulau Batu Putih suatu hari kelak ditukar menjadi satu kompleks ketenteraan yang canggih dan moden demi memenuhi kepentingan strategik dan kepentingan geopolitik sekutu-sekutunya di abad ke-21 di rantau ASEAN. Malah Malaysia tidak akan terkejut atau gentar jika Singapura menggunakan peralatan tercanggih mereka seperti kapal terbang pengintip, kapal selam Sea Serpent, jet pejuang F-16, helikopter tempur Apache atau pun peluru berpandu Rapier dan AIM-120C untuk memperkukuhkan tuntutan mereka. Kemungkinan besar Singapura telah pun membuat persiapan untuk mengalihkan operasi kapal selam mereka ke perairan berdekatan pulau ini. Itulah andaian yang perlu difikirkan oleh pihak kerajaan dalam memberikan suatu perasaan ‘sense of security’ atau sekuriti yang tinggi terhadap rakyat jelata terutamanya di Johor.

Perbicaraan di ICJ turut memperlihatkan bahawa Singapura cuba bermain api dengan jiran-jiran mereka. Realiti Singapura tahu berdasarkan sejarah Pulau Batu Puteh itu sememangnya milik Kesultanan Melayu Johor dan tidak terkecuali, Singapura itu sendiri. Apa yang Singapura lakukan tidak lebih daripada memberi validiti penjajahan British keatas Tanah Melayu dan menggunakan hak penjajahan British tersebut untuk memenangi kes ini. Singapura mahu memberi pengesahan keatas pemilikan mereka terhadap Pulau Batu Puteh berdasarkan penjajahan British keatas Tanah Melayu. Ini bermakna, Singapura yang disifatkan sebagai sahabat Malaysia, jelas tidak menghormati fakta sejarah bila ia menuntut kedaulatan pulau tersebut. Dalam satu wawancara Presiden Singapura Lim Goh Tong masih merasa sedih kerana tidak dapat memiliki Middle Rock dan juga South Ledge. Inilah kenyataan Presiden mereka yang dipetik dari Akhbar Singapura : Mr Goh expressed disappointment that Singapore was not awarded the Middle Rocks as he had thought the judgement would be all or nothing since the rocky outcrops are so close to one another. Describing the ICJ decision as having a 'hint of Solomon', he said it is perhaps the best outcome for both sides.

Implikasi lain yang boleh penulis hujahkan adalah berkaitan dengan tuntutan negara jiran itu terhadap wilayah lain di Malaysia. Hakikatnya, di bumi Malaysia kini masih terdapat pelbagai lagi kepentingan strategik Singapura, termasuklah beberapa loji takungan air di Johor dan juga Pulau Pisang yang mengikut fakta sama isunya seperti Pulau Batu Puteh. Siapa boleh menjangka suatu hari nati, atas asas undang-undang, lokasi ini juga mungkin diheret ke ICJ supaya kedaulatannya diserahkan kepada Singapura? Atas kebimbangan ini, seluruh kepentingan strategik Singapura di Johor hendaklah dikaji semula supaya tidak memungkinkan “pisang berbuah dua kali” dalam konteks kedaulatan negara. Iskandar Malaysia juga perlu diawasi agar kita tidak lagi ‘berputih mata’ melihat daratan kita dikuasai oleh orang lain. . Kita tidak mahu dokumentasi sekali lagi digunakan untuk dijadikan hakmilik Singapura 20,30 atau 50 tahun akan datang dalam Iskandar malaysiaTidak nanti, kita akan datang akan melopong bila keseluruhan kawasan Iskandar Malaysia akan dibawa ke ICJ untuk dituntut oleh Singapura sebagai miliknya atas nama perkongsian perniagaan yang gagal dan tanah di Iskandar. Oleh itu, segala perjanjian dengan Singapura berkaitan dengan Iskandar Malaysia wajar didedahkan kepada umum dan tidak lagi relevan di bawah Akta Rahsia Rasmi atau Official Secret Act 1960.

Justeru itu, ISIUKM ingin mencadangkan agar semua kepulauan Malaysia yang tidak berpenghuni mestilah didirikan struktur yang boleh menonjolkan bahawa wilayah itu adalah hakmilik Malaysia. Perkara ini tidaklah aneh kerana kerajaan Malaysia telah pun melakukanya di kepulauan Natuna yang mana ia menjadi satu kawasan tuntutan bertindih beberapa buah negara. Malaysia dengan segera telah mendirikan struktur di terumbu Pulau Layang-layang sebagai satu tanda bahawa itu adalah kawasan milik Malaysia. Kerajaan Malaysia mesti bertindak segera keatas semua kepulauan miliknya. Hal ini merujuk kepada kemenangan Malaysia keatas kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan adalah atas dasar pembangunan dan kawal selia Malaysia di pulau tersebut, begitu juga kehilangan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura juga atas alasan yang sama. Tidak cukup dengan hanya membuat pemetaan sempadan sahaja kerana proses pemetaan ini perlu mendapat pengiktiran pelbagai pihak daripada semua negara jiran hinggalah ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Dalam proses pemetaan sempadan inilah timbulnya bantahan dan pertindihan.

Dari itu sekali lagi, ISIUKM ingin sarankan supaya kerajaan dengan segera mengambil tindakan serta merta mempamerkan penguasaan keatas semua pulau-pulau milik Malaysia. Segala dokumen sejarah hendaklah digali dan disimpan oleh pakar-pakar Sejarah bagi menjadikan bukti kukuh sekiranya ada mana-mana tuntutan terhadap wilayah di Malaysia. Bukti jelas berkaitan isu tuntutan pulau Ambalat yang boleh memberikan harapan kepada kita kerana mempunyai dokumentasi lengkap berbanding Indonesia. Berwaspadalah terhadap Pulau Pisang kerana Singapura telah menyelenggara rumah api di Pulau Pisang yang dibina oleh British pada 1886 dan rakyat Malaysia sama sekali dilarang menghampiri pulau itu yang terletak berhampiran Pontian itu. Walaubagaimnapun sekiranya mengikut ‘Judicial precedent’ atau doktrin duluan kehakiman, jelas bahawa Pulau Pisang masih lagi menjadi hak Malaysia berdasarkan penghujahan Peguam Negara Singapura, Chao Hick Tin bahawa pada tahun 1900 Malaysia telah mengeluarkan geran tanah rasmi Pulau Pisang bagi menunjukkan pemilikannya ke atas pulau itu dan tindakan seumpama itu tidak pernah dilaksanakan terhadap Pulau Batu Putih yang menyebabkan Pulau Batu Putih menjadi milik Singapura. Jelaslah bahawa isu Pulau Pisang boleh berpihak kepada Malaysia sekiranyan kita bertegas untuk mengambil alih penyelengaraan Rumah Api di sana.

Konklusinya, bahawa isu Pulau Batu Putih telah muktamad dan Peraturan 60 ICJ jelas memberikan hak autonomi kepada Singapura hinggalah hari kiamat. Diharap peristiwa ini menjadi satu muhasabah kepada semua pihak dalam menjaga kedaulatan tanah air kita. Dua hari lepas juga, Berita Bernama turut menyiarkan tuntutan Nor Misuari, Ketua Pejuang Pembebasan Bangsa Moro yang dikatakan akan menuntut Sabah dan membawanya ke ICJ. Sebelum itu, tuntutan bertindih terhadap Kepulauan Spratly yang memiliki sumber minyak sehingga kini masih belum dapat diselesaikan. Justeru itu, para pemimpin negara wajar berfikir akan kedaulatan tanah air dan nasib generasi akan datang. Semoga segala perbuatan kita ini tidak akan dipersoalkan oleh anak cucu kita akan datang dan bait-bait lirik lagu warisan yang dipaparkan tadi tidak akan lagi terngiang-ngiang di minda kita pada masa hadapan.

HISYAMUDDIN CHE ALI

Setiausaha Agong

Ikatan Studi Islam

 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN