Bangi, 4 Julai – Perasmian Pesta Buku sempena Karnival Kesenian Dan Keilmuan Islam yang diadakan di Bangunan PKNS Bangi telah disempurnakan oleh YB Nik Nazmi B Nik Ahmad yang merupakan ADUN Seri Setia merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, YB Tan Sri Abdul Khalid B. Ibrahim. Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan kerjasama beberapa organisasi lain termasuk Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM).
Karnival ini bermula pada 30 Jun dan bakal berakhir pada 15 Julai 2009. Perasmian turut dihadiri oleh ADUN Bangi, YB Dr. Syafie B. Abu Bakar ; YDP Majlis Perbandaran Kajang, Y.Bhg. Dato’ Hasan Nawawi B Abd Rahman dan Presiden ISIUKM, Mohd Idris B. Mohd Yussoff.
YB Nik Nazmi dalam ucapannya menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan berharap agar program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang. Beliau juga berpandangan, percambahan pemikiran atau pertentangan pendapat wajar dizahirkan melalui penulisan dan penerbitan bahan ilmiah.
“Pesta Buku ini merupakan salah satu usaha yang perlu digiatkan dalam usaha membudayakan ilmu di Bangi dan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.” ujarnya lagi.
Presiden ISIUKM, Saudara Mohd Idris B. Mohd Yussof pula menganggap program ini amat bertepatan dengan konsep Bangi sebagai Bandar Ilmu.
“Mahasiswa berasa bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan masyarakat bagi merealisasikan hasrat melahirkan golongan masyarakat terpelajar. Namun begitu, saya berharap agar kemudahan seperti perpustakaan perlu diperbanyakkan dan sumber bahan bacaan perlu diperkasakan supaya Bangi mampu menjadi hub sumber ilmu pengetahuan pada masa hadapan.”kata beliau.
No comments:
Post a Comment