Thursday, May 29, 2008

ISU PULAU BATU PUTEH… KEDAULATAN TANAH AIR KITA

Anak Kecil Main Api,

Terbakar Hatinya Yang Sepi,

Air Mata Darah Bercampur Keringat,

Bumi Dipijak Milik Orang.

Itulah bait-bait lirik lagu Warisan yang jika diamati, amat memberikan kesan signifikan kepada keputusan 12-4 yang dibaca oleh Naib Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh dalam keputusan pada 23 Mei yang lalu yang memutuskan bahawa kedaulatan pulau Batu Puteh secara rasminya diserahkan kepada Singapura. Mengikut geografi, Pulau Batu Putih yang lebih dikenali sebagai Pedra Branca atau bermakna batu putih dalam bahasa Portugis terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor dan 25 batu nautika dari Singapura.

Pulau Batu Putih yang terdiri daripada ketulan batu karang dan luasnya hanya sekangkang kera itu sememangnya menjadi hak milik Kesultanan Johor semenjak sebelum tahun 1847 dan bukannya terra nullius (tidak berpenghuni serta tidak dimiliki oleh sesiapa) seperti yang didakwa oleh Singapura. Justeru itu, bagi mahasiswa, keputusan ICJ bukanlah satu keputusan menang-menang atau "win-win situation" tetapi ia sebenarnya seperti merampas ikan dalam tangan kita manakalanya isinya dimakan dan kita diberikan tulang. Walaupun kita mendapat Batuan Tengah atau "Middle Rocks" dan melepaskan Pulau Batu Putih, nilainya adalah tidak sama walaupun hanya kehilangan 0.2 hektar daratan atau sebuah padang bola sahaja kerana di sana ada implikasi yang bersifat jangka panjang.

Hujah konkrit Singapura berkaitan dengan surat Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 kepada Singapura yang tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Puteh telah dianggap oleh ICJ sebagai pengakuan penyerahan kedaulatan pulau berkenaan kepada republik itu. Di samping ketidak-bantahan kerajaan Malaysia terhadap pengibaran panji negara Singapura turut menjadi faktor kepada kemenangan Singapura dalam penghakiman setebal 81 muka surat itu. Faktor lain yang boleh diambil-kira adalah sekiranya Singapura benarkan kita menggunakan Arkib Nasional mereka, sudah pasti Pulau Batu Putih itu akan jadi milik kita tanpa persoalan. Hal ini berdasarkan sejarah bahawa semasa penjajahan British, Singapura dianggap Ibu Negeri bagi negeri-negeri Selat dan mungkin juga pusat pemerintahan sentral British bagi seluruh Tanah Melayu dari tahun 1896 hingga 1957. Secara umumnya juga, setiap rekod mengenai apa yang berlaku di Tanah Melayu dan Singapura akan disimpan di Singapura. Maka dokumen perjanjian,penaklukan atau pengambilan Pulau Batu Putih kemungkinan besar sudah pasti turut ada disana dan jika diselongkar daripada awal, pasti keputusan akan berubah.

Penulis turut melihat bahawa ICJ akan menggunakan isu siapakah yang "menduduki, mengawal dan menyelenggara" sepanjang masa tertentu sesuatu kawasan itu dan ia akan diiktiraf sebagai "pihak yang empunya" kawasan tersebut. Persepsi oleh ICJ ini tidaklah pelik kerana berasaskan komposisi panel hakim yang majoriti terdiri daripada bangsa eropah, sememangnya bangsa eropah ini sinonim dengan doktrin penjajahan mereka. Sejarah telah membuktian bahawa bangsa eropah akan menggunapakai doktrin sesiapa yang mengawal, menguasai dan menyelenggara sesuatu wilayah, maka mereka mengisytiharkan wilayah itu menjadi hak milik mereka.
Doktrin ini terpakai sejak zaman Christopher Colombus yang menawan benua Amerika Utara dahulu hingga ke zaman perang British Argentina merebut kepulauan Falkland

Bagi mahasiswa yang akan menjawab segala pertanyaan generasi akan datang, Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) melihat isu kemenangan Singapura ke atas Pualau Batu Putih sebagai satu keputusan landmark case atau kes pertama dirujuk yang memperlihatkan kedaulatan tanah air kita kali pertama tergugat. Kalau 1511 memulakan detik penjajahan kuasa barat terhadap Tanah Melayu, 2008 dibimbangi akan tercatat dalam sejarah bermulanya penjajahan kuasa neoimperalisme terhadap kedaulatan negara kita yang tercinta ini. Hujah penulis bukan beralaskan emosi semata-mata tetapi lebih kepada hujahan fakta. Bahayanya pemilikan Pulau Batu Puteh dapat dilihat melalui peruntukan Undang-Undang Laut yang menetapkan sempadan perairan membabitkan kawasan sehingga 12 batu nautika atau 22.2 kilometer dari pesisiran pantai atau mana-mana bidang hartanah milik sesebuah negara. Oleh yang demikian, tidak mustahil negara Singapura menambak daratan mereka daripada pulau mereka yang lebih kecil berbanding Pulau Langkawi itu menjadi daratan sehingga bersambung dengan Pulau Batu Puteh. Hal ini tidak mustahil berlaku kerana negara sebarang tambak itu memerlukan tanah untuk menampung kepadatan penduduknya yang dipercayai berkembang hingga 10 juta orang di hari mendatang di samping untuk memperbanyakkan lagi pembinaan infrastruktur kemudahan awam dan komersil. Selain itu, keputusan ICJ memberikan hak Batu Puteh kepada Singapura turut merangkumi hak meneroka hasil galian dan sumber mineral asli dalam perairan republik itu. Menurut Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia (MIMA), Datuk Cheah Kong Wai, berkata bahawa dalam sempadan perairan sendiri, sesebuah negara bebas menentukan undang-undang menetapkan penggunaan dan meneroka atau melombong apa-apa sumber asli. Pada masa sekarang, selain memiliki dan mengendalikan Rumah Api Horsburgh, Singapura memasang Sistem Maklumat Trafik Perkapalan (VTIS) pada menara di Batu Puteh yang menjadi elemen penting bagi menguruskan laluan kapal di perairan berkenaan dan ini memberikan kelebihan ekonomi kepada mereka.

Isu keselamatan negara juga turut menerima implikasinya tersendiri. Lokasi Batu Puteh amat strategik untuk mengawal laluan keluar masuk ke selat Tebrau, Kepulauan Riau, dan Laut China Selatan dan pemantauan 24 jam dapat dilakukan terhadap keluar masuk aset maritim termasuk juga aset Tentera Laut Di-raja Malaysia (TLDM) dari KD Sultan Ismail atau Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih. Juga tidak mustahil jika Pulau Batu Putih suatu hari kelak ditukar menjadi satu kompleks ketenteraan yang canggih dan moden demi memenuhi kepentingan strategik dan kepentingan geopolitik sekutu-sekutunya di abad ke-21 di rantau ASEAN. Malah Malaysia tidak akan terkejut atau gentar jika Singapura menggunakan peralatan tercanggih mereka seperti kapal terbang pengintip, kapal selam Sea Serpent, jet pejuang F-16, helikopter tempur Apache atau pun peluru berpandu Rapier dan AIM-120C untuk memperkukuhkan tuntutan mereka. Kemungkinan besar Singapura telah pun membuat persiapan untuk mengalihkan operasi kapal selam mereka ke perairan berdekatan pulau ini. Itulah andaian yang perlu difikirkan oleh pihak kerajaan dalam memberikan suatu perasaan ‘sense of security’ atau sekuriti yang tinggi terhadap rakyat jelata terutamanya di Johor.

Perbicaraan di ICJ turut memperlihatkan bahawa Singapura cuba bermain api dengan jiran-jiran mereka. Realiti Singapura tahu berdasarkan sejarah Pulau Batu Puteh itu sememangnya milik Kesultanan Melayu Johor dan tidak terkecuali, Singapura itu sendiri. Apa yang Singapura lakukan tidak lebih daripada memberi validiti penjajahan British keatas Tanah Melayu dan menggunakan hak penjajahan British tersebut untuk memenangi kes ini. Singapura mahu memberi pengesahan keatas pemilikan mereka terhadap Pulau Batu Puteh berdasarkan penjajahan British keatas Tanah Melayu. Ini bermakna, Singapura yang disifatkan sebagai sahabat Malaysia, jelas tidak menghormati fakta sejarah bila ia menuntut kedaulatan pulau tersebut. Dalam satu wawancara Presiden Singapura Lim Goh Tong masih merasa sedih kerana tidak dapat memiliki Middle Rock dan juga South Ledge. Inilah kenyataan Presiden mereka yang dipetik dari Akhbar Singapura : Mr Goh expressed disappointment that Singapore was not awarded the Middle Rocks as he had thought the judgement would be all or nothing since the rocky outcrops are so close to one another. Describing the ICJ decision as having a 'hint of Solomon', he said it is perhaps the best outcome for both sides.

Implikasi lain yang boleh penulis hujahkan adalah berkaitan dengan tuntutan negara jiran itu terhadap wilayah lain di Malaysia. Hakikatnya, di bumi Malaysia kini masih terdapat pelbagai lagi kepentingan strategik Singapura, termasuklah beberapa loji takungan air di Johor dan juga Pulau Pisang yang mengikut fakta sama isunya seperti Pulau Batu Puteh. Siapa boleh menjangka suatu hari nati, atas asas undang-undang, lokasi ini juga mungkin diheret ke ICJ supaya kedaulatannya diserahkan kepada Singapura? Atas kebimbangan ini, seluruh kepentingan strategik Singapura di Johor hendaklah dikaji semula supaya tidak memungkinkan “pisang berbuah dua kali” dalam konteks kedaulatan negara. Iskandar Malaysia juga perlu diawasi agar kita tidak lagi ‘berputih mata’ melihat daratan kita dikuasai oleh orang lain. . Kita tidak mahu dokumentasi sekali lagi digunakan untuk dijadikan hakmilik Singapura 20,30 atau 50 tahun akan datang dalam Iskandar malaysiaTidak nanti, kita akan datang akan melopong bila keseluruhan kawasan Iskandar Malaysia akan dibawa ke ICJ untuk dituntut oleh Singapura sebagai miliknya atas nama perkongsian perniagaan yang gagal dan tanah di Iskandar. Oleh itu, segala perjanjian dengan Singapura berkaitan dengan Iskandar Malaysia wajar didedahkan kepada umum dan tidak lagi relevan di bawah Akta Rahsia Rasmi atau Official Secret Act 1960.

Justeru itu, ISIUKM ingin mencadangkan agar semua kepulauan Malaysia yang tidak berpenghuni mestilah didirikan struktur yang boleh menonjolkan bahawa wilayah itu adalah hakmilik Malaysia. Perkara ini tidaklah aneh kerana kerajaan Malaysia telah pun melakukanya di kepulauan Natuna yang mana ia menjadi satu kawasan tuntutan bertindih beberapa buah negara. Malaysia dengan segera telah mendirikan struktur di terumbu Pulau Layang-layang sebagai satu tanda bahawa itu adalah kawasan milik Malaysia. Kerajaan Malaysia mesti bertindak segera keatas semua kepulauan miliknya. Hal ini merujuk kepada kemenangan Malaysia keatas kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan adalah atas dasar pembangunan dan kawal selia Malaysia di pulau tersebut, begitu juga kehilangan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura juga atas alasan yang sama. Tidak cukup dengan hanya membuat pemetaan sempadan sahaja kerana proses pemetaan ini perlu mendapat pengiktiran pelbagai pihak daripada semua negara jiran hinggalah ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Dalam proses pemetaan sempadan inilah timbulnya bantahan dan pertindihan.

Dari itu sekali lagi, ISIUKM ingin sarankan supaya kerajaan dengan segera mengambil tindakan serta merta mempamerkan penguasaan keatas semua pulau-pulau milik Malaysia. Segala dokumen sejarah hendaklah digali dan disimpan oleh pakar-pakar Sejarah bagi menjadikan bukti kukuh sekiranya ada mana-mana tuntutan terhadap wilayah di Malaysia. Bukti jelas berkaitan isu tuntutan pulau Ambalat yang boleh memberikan harapan kepada kita kerana mempunyai dokumentasi lengkap berbanding Indonesia. Berwaspadalah terhadap Pulau Pisang kerana Singapura telah menyelenggara rumah api di Pulau Pisang yang dibina oleh British pada 1886 dan rakyat Malaysia sama sekali dilarang menghampiri pulau itu yang terletak berhampiran Pontian itu. Walaubagaimnapun sekiranya mengikut ‘Judicial precedent’ atau doktrin duluan kehakiman, jelas bahawa Pulau Pisang masih lagi menjadi hak Malaysia berdasarkan penghujahan Peguam Negara Singapura, Chao Hick Tin bahawa pada tahun 1900 Malaysia telah mengeluarkan geran tanah rasmi Pulau Pisang bagi menunjukkan pemilikannya ke atas pulau itu dan tindakan seumpama itu tidak pernah dilaksanakan terhadap Pulau Batu Putih yang menyebabkan Pulau Batu Putih menjadi milik Singapura. Jelaslah bahawa isu Pulau Pisang boleh berpihak kepada Malaysia sekiranyan kita bertegas untuk mengambil alih penyelengaraan Rumah Api di sana.

Konklusinya, bahawa isu Pulau Batu Putih telah muktamad dan Peraturan 60 ICJ jelas memberikan hak autonomi kepada Singapura hinggalah hari kiamat. Diharap peristiwa ini menjadi satu muhasabah kepada semua pihak dalam menjaga kedaulatan tanah air kita. Dua hari lepas juga, Berita Bernama turut menyiarkan tuntutan Nor Misuari, Ketua Pejuang Pembebasan Bangsa Moro yang dikatakan akan menuntut Sabah dan membawanya ke ICJ. Sebelum itu, tuntutan bertindih terhadap Kepulauan Spratly yang memiliki sumber minyak sehingga kini masih belum dapat diselesaikan. Justeru itu, para pemimpin negara wajar berfikir akan kedaulatan tanah air dan nasib generasi akan datang. Semoga segala perbuatan kita ini tidak akan dipersoalkan oleh anak cucu kita akan datang dan bait-bait lirik lagu warisan yang dipaparkan tadi tidak akan lagi terngiang-ngiang di minda kita pada masa hadapan.

HISYAMUDDIN CHE ALI

Setiausaha Agong

Ikatan Studi Islam

1 comment:

semangat guru salleh said...

Isu pulau batu puteh sebenarnya, pulau itu terlepas disebabkan oleh kegagalan setiusaha pejabat menteri besar johor pada awal tahun 1950an utuk Menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Beliau gagal memahami isi kandungan surat tersebut dengan jelas dan ditambah dengan semangat kegembiraan untuk merdeka. Ini ditambah lagi dengan pegawai atasan beliau yang berbangsa inggeris yang menganggap ia tidak penting dan saling hubungan erat antara pegawai inggeris dengan sahabat sebangsa sejawatan dengan beliau di singapura. Oleh itu penguasaan B Inggeris juga amat penting di era globalisasi. Syabas kepada kerajaan BN-Umno yang melihat jauh kepentingan meguasai nya sahaja bahasa tersebut.

 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN