Sunday, July 6, 2008

Peranan Mahasiswa Perlu Seiring Dengan Falsafah Universiti

Mengikut statistik Kementrian Pengajian Tinggi, seramai 40,184 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajan Tinggi Malaysia, Matrikulasi dan Diploma akan bergelar sebagai mahasiswa pada 29 Jun nanti. Terdapat pelbagai latar belakang sama ada golongan kaya mahupun miskin, pelbagai agama dan kepercayaan serta tidak terkecuali golongan istimewa iaitu golongan warga emas mahupun orang kurang upaya adalah mereka yang mendaftar di 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada tarikh keramat itu. Ikatan Studi Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) ingin mengucapkan selamat datang kepada mahasiswa baru yang akan mencorakkan bumi Malaysia ini pada masa mendatang. Semoga hasrat untuk menggenggam segulung ijazah tidak tersekat di tengah jalan.

Mahasiswa baru sama ada suka atau tidak akan berhadapan dengan 1 minggu yang dikenali sebagai minggu suaikenal. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ia dikenali sebagai Minggu Mesra Mahasiswa atau 3M. Sememangnya jelas dan tidak dinafikan bahawa minggu suaikenal ini bertindak sebagai ‘landmark situations’ atau kondisi rujukan kepada mahasiswa baru. Sekiranya minggu suai kenal dapat memberikan input yang berguna kepada mereka, sudah pasti negara dan universiti akan mendapat pulangan yang lumayan pada waktu mendatang.

Komentar ini tidak berhasrat untuk mengetengahkan isu minggu suai kenal secara panjang lebar. Cukuplah sifir mudahnya bahawa mahasiswa dapat dibentuk karakternya melalui pengisian program berintelektual semasa minggu suai kenal. Bagi ISIUKM, peranan mahasiswa baru dalam mencorakkan susur galur negara kita cintai ini wajar diperkatakan dalam ruang yang sempit ini

ISIUKM melihat peranan dan hasrat utama mahasiswa baru adalah menimba ilmu pengetahuan dan mencapai segulung ijazah di akhir pengajian nanti. Budaya ilmu wajar diterapkan dan diaplikasikan setiap masa dalam memenuhi tuntutan masyarakat yang memerlukan insan berilmu. Jadikanlah dunia kampus sebagai dunia budaya ilmu yang boleh mencorakan sosio budaya masayarakat negara ini.

Mahasiswa baru juga mempunyai tugas sebagai agen perubahan kepada masyarakat. ISIUKM menyeru supaya mahasiswa baru nanti sudi untuk turun padang membantu masyarakat melalui Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) khususnya kepada masyarakat kampung dan para pelajar sekolah untuk berjaya. Sebagai pelajar institusi pengajian tinggi, mahasiswa berperanan dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat sekitar dalam mendidik dan membantu masyarakat terutamanya anak-anak kampung untuk beroleh kejayaan. Mahasiswa baru perlu menjadi contoh dan teladan baik kepada masyarakat untuk berusaha dan berjaya seperti mereka.

Tugas meningkatkan taraf dan rangking IPTA tempatan ke dalam senarai 100 buah Universiti terbaik di dunia turut terpikul dibeban mahasiswa baru. Tahun lalu, tiada satu pun wakil negara dalam 200 universiti terbaik di dunia sedangkan dua buah universiti dari negara jiran iaitu Singapura tergolong dalam “top 200”, malah National University Singapore berada di tempat ke 33 iaitu satu pencapaian yang sangat membanggakan. Secara analoginya bahawa rangking universiti setiap negara akan menjadi petunjuk terhadap kelebihan sesebuah negara dalam pentadbiran negara masing-masing. Justeru, pertanggungjawaban kita sebagai mahasiswa baru dalam merencanakan keintelektualan dan kemahiran amatlah dituntut dalam menaikkan kembali rangking IPTA kita dan seterusnya menjulang kembali imej negara di kacamata global.

Selain itu, mahasiswa baru wajar perlengkapkan diri dengan soft skill atau kemahiran halus berkaitan dengan pengurusan organisasi. Kemahiran ini boleh ditimba dan dicari melalui pergerakkan aktif mahasiswa itu sendiri di dalam kelab mahupun persatuan di IPTA masing-masing. Janganlah kita cemerlang dalam akademik semata-mata sedangkan kita gagal dalam bidang kemahiran berhubungan dengan masyarakat. Minggu Pengenalan Persatuan kelak wajar dijadikan sebagai ‘pasar jualan murah’ kepada mahasiswa dalam mendaftarkan diri di dalam persatuan dan kelab sebagai batu loncatan memperolehi kemahiran bukan teorikal itu. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sendiri, kewujudan 13 persatuan anak negeri dan 43 persatuan atau kelab sama ada di bawah kelolaan Hal Ehwal Pelajar mahupun Fakulti mencerminkan bahawa mahasiswa boleh membuat pilihan untuk berorganisasi atas lesen kebebasan berpersatuan yang dianugerahkan oleh Universiti.

Bagi mahasiswa baru yang akan belajar di luar negara, anda sepatutnya menunjukkan kualiti yang tinggi dari pelbagai segi kerana pembiayaan pengajian anda mampu menampung pengajian lebih sepuluh orang kawan-kawan yang belajar di universiti dalam negara. Mahasiswa baru juga perlu memandang serius Pilihanraya Kampus (PRK) sebagai langkah mereka untuk membentuk suasana universiti yang baik memandangkan universiti mereka termasuk di dalam “circle of influence” mereka. Mahasiswa perlu membebaskan minda mereka daripada politik partisan di luar sana dan perlu membentuk idealisme atau pengaruh sendiri. Mahasiswa perlulah menjadi golongan yang bertindak sebagai pressure group, indipendent groups, catalyst, check and balance, watch-dog dan bukannya jurucakap kepada parti pembangkang mahupun kerajaan. ISIUKM berharap suasana demokrasi yang segar dalam universti akan dapat mempersiapkan mahasiswa untuk memegang tampuk pemerintahan negara kelak.

Selanjutnya, tugas yang paling akhir ialah mahasiswa wajar membina jati diri yang kukuh serta tidak mudah terpesong daripada landasan agama dan juga adat ketimuran. Mahasiswa baru perlu menanamkan iltizam bahawa mereka datang ke gedung ilmu semata-mata untuk belajar dan mencari kemahiran individu, bukannya menjadi bualan mulut masyarakat berkaitan moral mereka. Mahasiswa baru perlu sedar bahawa mereka adalah berbeza dengan remaja di luar sana yang sebaya umurnya tetapi tidak setara pemikirannya. Di pundak bahu mahasiswa barulah terletaknya harapan masyarakat untuk melihat generasi penyambung kepimpinan negara yang bermoral dan berkualiti tinggi.

Oleh yang demikian, mahasiswa baru hendaklah bersikap terbuka dan optimis terhadap segala cabaran mendatang selama tiga atau empat tahun di menara gading. Tidak dinafikan bahawa peranan mahasiswa baru amatlah berat pada kacamata masyarakat tetapi semakin berat beban itu terpikul, semakin berguna kepada kemandirian negara kita cintai ini. ISIUKM berharap agar mahasiswa baru terus berusaha dan bercita-cita dalam memenuhi matlamat kewujudan universiti iaitu sebagai jantung pemikiran bangsa dan tamadun. Andainya ia tidak direalisasikan oleh kita, dibimbangi universiti akan menjadi tidak ubah seperti kilang pengeluaran sumber tenaga bersifat mesin dan juga robot bernyawa.

 

© 2009 Fresh Template. Powered by Blogger.

Fresh Template by NdyTeeN